Tuesday, 1 January 2013

Dialah budak itu..





Melihat perjalanan hidupmu yang penuh berliku,

Memaksa aku untuk menuliskan kisah tentang dirimu,

Menyentuh hatiku untuk mengenali kisah jiwamu,

Mungkin di dalamnya ada ceritera,

Yang boleh kita curahkan buat renungan.


Kita teruskan melangkah , angin mengehmbus sayu, menyentuh pipi ana. Menyegarkan. Alhamdulillah, bersyukur dengan Allah memberi peluang untuk terus hidup, alhamdulillah Allah memberi kekuatan untuk teruskan perjuangan ini, walau ada cacat cela yang dihias, walau ada rungutan, mungkin di tahun baru ini ana menanam azam untuk menjadi lebih baik dari tahun lepas yang baru sahaja menutup tirainya. Menutupnya rapat, hingga tidak mampu lagi untuk diselak.

Mengimbau diri dan amalan tahun lepas yang ana lakarkan, banyak tercalar dengan dosa banyak luka yang ana guriskan, ana kecewa dengan amalan yang tidak bertambah, dan malu dengan pengorbanan untuk islam yang rasanya tidak ada. Bila ana tanya diri ana,

‘ Apa yang dah kau buat untuk menegakkan islam?’

Menjawab dalam hati, malu untuk disebut keluar, ..tidak ada wahai diri.

Jahilnya ana, bagaimana untuk menghadap Allah di padang masyar pada hari  kebangkitan kelak dengan diri yang tidak ada apa-apa.

Memetik kata-kata dalam buku Travelog Budak Mentah yang membincangkan tentang pengorbanan.

“Sudah berapa kali Aidiladha menjemput hidup kita. Tetapi,  masih kurang pengorbanan kita, terutamanya sekali buat islam dan perjuangan menegakkannya. Saya khuatir, fikiran saya tidak diperah untuk islam, tangan saya tidak bekerja, menaip, menulis, melakukan apa-apa sahaja untuk islam...”

Pada muka surat yang sama juga, ana tertarik pada kata-kata yang buat ana tersentak.

“Begitu pula dengan mulut saya , berbicara tentang apa? Mengenai islam yang belum tertegak atau mengenai ocehan sia-sia.

Bercakap itu dan ini, bagaimana pula dengan aplikasi ? ”

Membuatkan hati, jiwa, minda dan mulut ana mati buat seketika. Kata-kata yang betul-betul kena das tembakannya dengan diri ana, hingga kini masih rasa berdarah. Allahu Robbi. Masih begitu jauh dengan aplikasi pengorbanan seperti mujahid dan mujahidah yang sudah ramai terkorban untuk menegakkan islam, bermula dengan syuhada pertama, Sumayyah.

Merasakan diri masih lagi memikirkan tentang kesenangan dunia, masih ada karat-karat jahiliah yang tidak terhitung. Alhamdulillah Allah tidak zahirkan tompokan dosa pada badan manusia, kalaulah Allah zahirkan, maka pastinya menjijikkan, mengerikan.

Berdosanya ana ya Allah, hambaMu yang banyak melakukan dosa dan maksiat, dan mungkin juga pernah terlintas rasa ujub dan rasa hebat. Sungguh ana hambaMu yang tidak layak untuk mendongakkan dagu, sujudku ya Allah, memohon keampunan dari Mu.

Penulisan sempena 1/1/2013 dengan mengenggam azam baru, dimulakan dengan muhasabah dan refleksi diri. Post-mortem untuk tahun lepas, yang ana kira banyak kisah leka dan alpa.
Ana coretkan penulisan tidak matang ini, membawa satu mesej buat diri dan sahabat. Ana merantau di bumi sabah, tempat kelahiran ana. Terasa sesak dengan dosa, namun alhamdulillah ana masih berjumpa di setiap jalan, ada wajah yang tersenyum, membawa panji Islam, mungkin sudah masanya Sabah dicuci dan disembur haruman islam.

DIA DI JALANAN.

Ana tertarik mencoretkan sesuatu yang sangat dekat dengan ana, yang sangat berkait rapat dengan ana, iaitu Sabah. Kerana masih banyak ‘mutiara’ yang belum ditemui, dan masih belum dikeluarkan. Masih banyak cerita mengenai sabah, yang orang di luar sana belum tahu kisahnya, yang kerajaan belum tahu masalahnya. Ana coretkan bukan sahaja masalah kemiskinan, tapi jua masalah islam yang terlalu lumpuh di Sabah, berbeza dengan semenanjung Malaysia.

Apa yang ana ingin coretkan adalah tentang dia. Yang ana temui ketika berjalan menerusi lorong, yang ana kira bukannya lorong yang sempit dan gelap, ianya lorong pejalan kaki berbumbung yang menghubungkan dua Shopping complex. Ana sangat tertarik dengannya, sudah dua hari ana melihat dia ditempat yang sama, dan masih tertarik untuk menemuinya. Bila ana melihat dirinya, ana rasa bagai ada cerita yang tersirat tentangnya. Tapi belum mampu untuk mengetahui kisah tentang dia. Bilalah agaknya.
Dari kejauhan, ana melihat dirinya, terbaring, sakit, menutup wajah comotnya, memakai baju lusuhnya, dengan rambut yang panjang. Tidak terurus. Tapi kenapa? Mana keluarganya? Berapa umurnya? Ana jadi tidak keruan melihat dirinya. Yang dia ada, di depannya gelas yang dipenuhi wang kertas. Namun kenapa masih dapat merasa kesedihannya, keperitannya. Bagai dia ingin seseorang mengetahui kisah tentangnya, menyelesaikan masalah dirinya. Dengan memberi duit di gelas kotor itu masih belum mampu buat dia tersenyum. Ana keliru melihatnya.

Lebih menyedihkan, di kaki kurusnya itu ada luka yang masih berdarah, masih baru ana fikir. Ana bertanya dalam jiwa, dia ok ke?



MENDEKATINYA..

Ana mendekati dia, cuba untuk memberanikan diri bertanya khabarnya. Namun tiada jawapan.  Dia hanya menutup wajahnya dengan tangan kurusnya itu, tidur. Mungkin.

Ana melangkah, cuba menjauhkan dari dirinya. Tapi tidak mampu untuk meninggalkan dia dengan lebih jauh. Baru ana perasan ada mata-mata sinis yang melihat tingkah ana, ada mata yang mengekori gerak ana. Sepertinya mata-mata yang menjaga dia dari kejauhan. ‘Menjaga’? Tapi mengapa membiarkan dia di lorong jalan dalam keadaan terluka. Ahhh.. biarkan mata itu terus melihat ana, terus mengekori ana. Ana lihat dia yang kini bersama lagi seorang kawan yang serupa cara pemakaiannya. Ana kira adik beradik ataupun kawan semata.

Ana meluru pergi mendekatinya, bertanya Khabar tentang kawannya,

“ Adik, kawan adik ni ok tak?”

“ Entah”. Jawapannya ringkas. Mengangkat kepala menampakkan matanya sahaja, seperti ketakutan ada orang yang akan melihat perbincangan itu. Menjawab ringkaas agar  diskusi itu hanya sampai di situ.

Ana pun berlalu pergi,  menoleh ke belakang. Merasa ada panggilan meminta tolong dari hati kecil mereka. Ana cuba untuk melangkah kerana merasakan ada mata-mata yang semakin garang melihat dikejauhan. Menoleh ke hadapan, terdapat beberapa lelaki yang melangkah garang menuju ana dan kakak. Memaksa ana untuk terus beredar.

Hanya sampai di situ kisah ana dengan dia.



CUKUPKAH?

Bila ana lihat sekeliling, baru ana faham keadaan yang berlaku. Manusia sudah tidak kisah dengan saudara seagamanya. Bilamana dia tidak kenal, maka dia tidak perlu fikir dan endah. Begitu juga ana. Ana kecewa pada diri ana dan masyarakat sekeliling ana, melihat kisah si dia iaitu adik pengemis yang kakinya luka itu, mereka hanya memberikan duit dan berlalu pergi.

Cukupkah? Benarkah anak itu hanya inginkan itu? Siapa tahu jauh di sudut hatinya dia ingin kita menyelamatkannya dari terus begitu. Saat itu hingga sekarang, ana masih teringat padanya dan benar-benar rasa bersalah kerana tidak mampu menyelamatkannya, tidak mampu memimpin tangannya agar jauh dari kesakitan itu.

Apa yang ana lihat depan mata ana, manusia lalu dan mencampakkan wang ringgit berjumlah seringgit, lima ringgit atau besar lagi jumlahnya. Alhamdulillah mereka membantu, tapi macamana dengan sakit dalam jiwanya, budak yang ana kira masih kecil, masih perlu dilindungi. Allahu Robbi. Terseksa sahabat. Tapi yang ana dapat bantu, beri duit, lihat dengan simpati dan berlalu pergi. Sedang masalahnya masih belum selesai. Tidak ada pun polis yang membantu, tidak ada badan kebajikan yang membantu, tidak siapa tahu kisah dirinya kerana tidak ada yang bertanya . Salah ana tidak melaporkan. Hingga sekarang jujur ana kata, ana teringat lagi wajahnya, ana terasa lagi kesakitannya, ana masih terasa lagi kesunyiannya, masih terasa panggilan hatinya.



MAAFKAN AKAK ADIK.

Maafkan akak adik. Tidak mampu membantu saat kamu memerlukan tempat bergantung. Tidak dapat menolong untuk menyelesaikan masalahmu. Tapi akak janji akan mencari kamu, akak berjanji adik. insyaAllah. Jadi, tolonglah kamu bersuara andai akak bertanya.

Kamu tengah diuji oleh Khaliq, untuk kamu tetap terus bergantung denganNya, agar kamu tidak melupakanNya. Dia menguji untuk mencari hambaNya yang benar-benar ikhlas mahukan RedhaNya. Berjuanglah adik! Demi syurgaNya. Akak cemburu saat kamu di uji, kerana akak tahu Allah sayangkan kamu. Doakan akak juga di uji, kerana akak juga ingin di sayangi Allah..

Maaf.

Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu; dan Kami akan uji perihal kamu.
                                                                (Surah Muhammad : 31)



Cakap kerana cinta..

Monday, 31 December 2012

SABAH : SEMOGA BUMIMU SUBUR DENGAN ISLAM..




Ku doakan agar bumi itu dirahmati,
Ku doakan agar tanah itu di Redhai,
Kerana penduduknya yang kian melupakan Khaliq,
Memburu nikmat dunia yang akan lenyap,
memburu dengan rakus,
tapi baru kini aku mengerti,
mereka sungguh tidak mengetahuinya...


Alhamdulillah, bersyukur setinggi-tinggi kesyukuran hanya kepada-Mu Ya Allah, yang menjadikan langit dan bumi dan seluruh isinya.

Hanya kepada engkaulah kami menyembah dan hanya kpd engkaulah kami mohon pertolongan
                                                            (Surah Al-fatihah : 5)

Penulisan yang ana kira kurang matang ini, namun ada mesej penting yang ana ingin sampaikan buat hambaNya khasnya buat insan yang menetap di bumi sabah dan sebagai renungan buat benua lainnya.

Alasan ??
Mengapa ana petik ayat ke-5 daripada surah Al-fatihah sebagai pembuka bicara penulisan ini hanyalah kerana beberapa faktor yang ana kira berkaitan dengan kehidupan segelintir ataupun majoriti manusia yang menetap di sabah khususnya.
Semuanya mereka katakan kerana kesempitan hidup. Kesempitan hidup yang mereka rasai, sehingga membawa kepada melupakan Khaliq iaitu pencipta mereka. Urusan dunia mereka kejar, semata-mata untuk mendapatkan sesuap makanan hinggakan mereka lupa untuk solat, mereka lupa untuk berdoa, dan mereka lupa untuk bersyukur. Kerana bagi mereka, masa berjalan dan semua itu membazir masa!

Allahu Robbi, astaghfirullah al’azim. Ana bawakan kisah realiti masyarakat sabah yang benar-benar memerlukan peringatan dan nasihat. pendapat ana yang mungkin salah dan mungkin betul.

Ana melihat sendiri dengan mata ana, bagaimana pantasnya mereka berjalan pantasnya mereka bergerak, untuk mengejar dunia. Ana lihat di sebelah kiri ana, ana lihat pengemis-pengemis yang duduk memohon simpati manusia. Ana ingin tahu apa di hati dan jiwa mereka, tahukah mereka bahawa meminta-minta itu dibenci Allah?

"Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia kepada Kami dalam keadaan berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan apabila Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah Dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan Yang menimpanya (sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampau batas apa yang mereka lakukan"

YUNUS; 12



Salah siapa??

Ana tarik nafas panjang-panjang. Ana fikir sejenak, sudah begitu lama ana menyalahkan kejahilan mereka, sudah lama ana mengkritik cara hirup mereka, sudah lama ana menyatakan kealpaan mereka..

mereka tu tanggungjawab kita sa, dorang jadi camtu sebab dorang tidak faham, sebab dorang tidak tahu”
Baru ana sedar dari kealpaan ana, rupanya inilah amanah yang ana dan sahabat-sahabat lain perlu galas. Semua ini bukan salah ereka, semuanya kerana mereka tidak tahu, mereka tidak mengerti dan mereka tidak faham. Mereka sudah lama meninggalkan Al-Quran, dan kita yang membacanyalah yang sepatutnya membawa mereka merasai kembali indahnya Islam itu.
Salah aku rupanya..

Bawak mereka kerana cinta..
Setelah ana sedar, ana patut bawa mereka kembali mencintai islam, membawa mereka kembali pada fitrah. Kerana memang betul apa yang Tun Dr. Mahathir katakan, manusia ini benar-benar mudah lupa. Perlunya ada yang mengingatkan mereka kembali , dan sesungguhnya Allah itu maha pengampun.

Realitinya...
Ana menaiki sebuah van usang, yang merupakan ‘taxi’ di Ranau. Ana mendengar rungutan orang-orang yang sudah berumur, ana mendengar mereka mengatakan ketidakcukupan wang untuk menampung perbelanjaan kehidupan mereka, mendengar rungutan seorang ibu yang baru sahaja menghabiskan separuh dari perbelanjaan untuk membeli keperluan sekolah anak-anaknya, ana tersenyum namun turut sedih.
Semoga Allah meniupkan rasa cukup dalam diri mereka ”
Ana lihat sekeliling , ana melihat buruh yang bertungkus lumus menyiapkan bangunan tanpa mengenal rasa letih dan penat. Ana lihat jam sudah menunjukkan waktu solat, ana terfikir :
“ sudah solatkah mereka ?”
Ana keluar dengan kakak ana , ke sebuah shopping complex yang terletak di tengah-tengah bandar. Selesai sahaja kami makan, terus sahaja menuju ke ruang solat yang ana fikir sangat terpencil dan kecil.
Ana melangkah sahaja ke dalam ruang solat, Allahu Robbi, hanya beberapa orang yang bersujud. Ana bandingkan dengan manusia yang bersesak di ruang-ruang kedai untuk membeli belah, terlalu jauh bezanya.
Mereka semua uzur ke ? ”
Ana menaiki sebuah bas, duduk di hadapan sekali membelakangi pemandu bas. Ana lihat melalui cermin muka di hadapan pemandu, ana lihat kening dan mata yang sayu dan tergambar kepenatan tetapi tetap tersenyum.
“ Alhamdulillah, dia tengah berusaha. Pasti untuk kesenangan keluarganya. Tapi dia sudah solat kah? Mungkin sudah.

Ana teruskan langkah, menuju ke masjid. Dengan niat untuk berjemaah maghrib dan isya’. Sama seperti ana rasakan, hanya dua atau tiga orang sahaja di ruangan muslimat. Dan hanya 1 saf setengah di bahagian muslimin.
“ Hanya inikah kekuatan jamaah islam masa kini ?”

Ana memasuki bilik, ana lihat semuanya sedang menonton drama. Bila azan berkumandang, semua sepertinya tidak mendengarnya.
dorang tak dengar azan ke?”

Ana mendengar remaja yang begitu asyik di lamun cinta, berjaga untuk cinta bukan mahramnya. Merasa sedih kerana disakiti, di curangi atau di marahi. Ketawa dan gembira ketika di hubungi, di sayangi.
“ tapi macamana dengan cinta Allah ? ”

Ana memberikan sepotong ayat al-quran buat sahabat mengerti bahawa kita manusia akan menyesal di hujung waktu.
“ takutkan, azab Allah pada hambaNya”
“ a’ah takut sangat ”
 Tapi tiada perubahan dalam dirinya. 
Salah siapa??
Salah ana. Allahu Robbi.
Terlau banyak insan yang melupakanmu di sini, hingga ana tidak dapat merasa Islam seperti indahnya di kelantan. Ana harapkan sabah juga di harumi dengan keindahan islam. Aamiin ya Robb.

 

Sunday, 30 December 2012

Kebangkitan umat..





Disini mulanya,
Langkah dipacu laju,
Mengenal erti penciptaan,
Mengenal watak dan lakonan,
Di dunia yang hanyalah pentas penipuan.

Terus melangkah lagi,
Mengheret rasa takut dan gentar,
Kadangkala jatuh dan tersungkur,
Kadangkala lesu dan hampa,
Tertipu dek suasana.

Jangan pernah kau terus tersungkur!
Hayun langkahmu syabab!
Perjuanganmu masih jauh,
Maka persiapkan dirimu,
Genggam erat penumbuk ilmumu,
Ikat kemas tali ukhuwahmu,
Tanpa alpa sujud tangis pada penciptaMu

Pahat janjimu dulu,
Yang pernah engkau lafaz sayu di hadapan ulul amri,
Pahat kemas di dada dewasa mu,
Agar engkau senantiasa ingat dan ingat,
Yang engkau akan terus berjuang!
Menegakkan islam di puncak tertinggi,
Membawa panji walau terpaksa terkorban,
Kerana sesungguhnya syahid itulah cita2 tertinggi.

Ya Allah,
Andai kami rebah,
Engkau kuatkan hati2 kami,
Untuk terus teguh mengukir cintaMu,
Untuk terus ghairah memacu langkah perjuangan,
Tanpa ada rasa lemah dan takut!
Maka Redhailah perjalanan ini..

Allahu Akbar!


                                                                                                                                Originally : hapsah bt masdin
                                                                                                                                               (pesanan untuk ana)
                                                                                                                                                                     31disember2012
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...