Monday, 11 March 2013

Warkah buat sahabat




Kehadapan sahabat yang dicintai,

Aku risau melihat diriku dan kamu,
Begitu sibuk menuntun kata-kata,
Kata-kata indah bait-bait puisi,
Namun ditepian kolam dirimu,
Engkau tinggalkan adab dan akhlak,
Tertinggal di bangku lusuh yang kau duduk semalam,
Hingga bila engkau berbicara,
Angin berpasir  yang mereka rasa,
Rimas dan menyakitkan tekak..

"Setiap yang ada di dalam hati akan menzahirkan kesannya pada anggota badan sehinggalah setiap pergerakkannya adalah berlandaskan kepadanya”
(Imam al-ghazali)
Assalamualaikum sahabat syurga yang dicintai lillahitaala. Sahabat-sahabat yang banyak sekali mengajar tentang hidup, mengajar tentang cinta, mengajar tentang islam, mengajar tentang tabah dan usaha. Sahabat-sahabat yang banyak memberitahu ana makna matang yang sebenar. Alhamdulillah Allah mempertemukan ana dengan sahabat yang mengingatkan tentang mati, yang cuba menghidupkan semula hati yang telah berpuluh tahun ‘mati’. Alhamdulillah Ya Allah. Sujud syukur atas segala ni’mat.
Sahabat pejuang agama,
Dengar dan hayatilah setiap baris kata-kata sahabatmu ini, aku berkata-kata pada hari ini untuk memperingatkan buat semua, termasuklah diriku yang jahil ini. Aku bukan insan mulia yang perlu didengar bicaraku, diterjemah puisiku, dibuat hujjah ayatku, bukan juga tokoh islam yang banyak berkorban untuk islam. Aku juga bukan ustazah yang memiliki beberapa sijil pengiktirafan yang melayakkan aku untuk menegur dirimu. Tetapi, akulah sahabatmu, yang pernah bersama-samamu, pernah menangis merinduimu, pernah terluka dijalan yang sama. Aku malah sahabatmu yang jahil itu. Akulah sahabatmu yang banyak melakukan kesilapan itu.
Sahabat syurga. Setelah bersama-sama dalam jalan perjuangan ini, aku dan kamu banyak bersama-sama dan kerana itu aku mengenali dirimu. Mungkin ada sisi lainnya yang aku tidak mengenali dirimu.
Sungguh aku ingin menegur satu sisi yang begitu penting buat jasad yang berada dalam perjuangan islam. Iaitu akhlak.
Sahabat cinta,
Setelah kita sama-sama berada dalam jalan jihad ini. Begitu banyak kita diuji Allah. Termasuklah hati dan diri kita. Setelah berada dalam jalan ini, kita selalu tertinggal untuk koreksi tentang akhlak bawaan diri kita. Kadangkala kita terlalu mengikut emosi yang menggambarkan keburukan diri kita. Sedang kita tahu, sahabatku, manusia-manusia yang kita cuba dekati itu selalu memerhatikan gerak geri kita. Itu ana kurang kesah, namun bagaimana pula dengan pandangan Allah kepada kita wahai sahabatku?
Begitu sibuk kita didalam jalan jihad ini, hingga kadangkala kita terlupa untuk berterima kasih. Sedangkan Rasulullah kekasih Allah begitu banyak meminta maaf dan berterima kasih.
Bagaimana pula dengan pandangan sinis kita kepada orang-orang yang menjauhkan diri dengan islam? Aku takut sahabat, andai kitalah yang menyebabkan mereka lagi menjauh dari sebelum ini kerana akhlak comot kita itu. Adakah kita yang berhak untuk menilai manusia ? siapa kita ?
Wahai sahabat kuntuman rindu,
"Di kalangan mu'minin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya”
Aku takut kita tersalah erti, benarkah sudah sempurna iman kita duhai sahabat? Setelah akhlak yang kita pancarkan begitu gelap dan berkarat sinarnya. Kita membawa islam di tengah kejahilan ummat, namun akhlak kita tercalar dengan nafsu dan emosi . Aku takut, kita lagi membuat manusia memperlekehkan islam.
Aku dan kamu tahu, itulah kesilapan besar yang selalu kita lakukan duhai sahabat. Aku dan kamu pasti tahu bagaimana kejayaan rasulullah menyebarkan islam kerana keindahan akhlaknya. Sebenarnya kita juga harus begitu. Berlemah lembut dengan orang lain, menjaga amalan , menjaga bicara. Bukannya menjadi penghukum, bukannya menjadi terlalu kasar.
Tarbiyah yang kita jalani, bukan membentuk diri kita menjadi kasar dan ganas duhai muslimat. Tapi tarbiyahlah yang membentuk diri kita untuk lebih dekat dengan Allah dan berakhlak mulia.
Tapi sahabat, aku melihat dalam kalangan kita ini, terlalu bangga dengan diri. Terlalu merasa hebat dengan pemakaian diri, hingga menolak tepi akhlak dan adab. Bila berkata-kata, terlalu kasar dan mengaibkan, bila menyampaikan terlalu sombong, bila berpangkat merasa sudah hebat, bila sudah lama dalam perjuangan rasa betul. Ana takut mungkin kita salah seorang daripadanya.
Sedangkan Allah kata dalam Furqan, orang-orang yang berIman dan berjihad dijalan Allah itu yang akan dijanjikan syurga. Sempurna iman bilamana sempurna akhlaknya.
Aku takut, kita ini berjihad dengan jihad yang sia-sia disisi Allah. Aku takut, kita ini sebenarnya semakin hilang rasa kehambaan kepada Allah. 
Wahai sahabat,
Pesanku padamu, berakhlaklah kita sebagaimana akhlak Rasulullah. Beradablah kita dalam menyampaikan ilmu. Beradablah kita dalam berbicara, berakhlaklah kita dalam melihat, berakhlaklah kita dalam berorganisasi, berakhlaklah kita dalam berprogram, berakhlaklah kita dalam bersahabat, berakhalaklah kita dalam semua hal. Kerana itulah salah satu kunci kepada kejayaan islam.
Mungkin selama ini kita terlalu sibuk menyampaikan, mungkin kadangkala perlunya kita luangkan sedikit masa untuk mendengar dan muhasabah.
    Maaf andai engkau terluka kerana bicara tegurku.


                                                                                                  sahabatmu,
                                                                                                Hapsah Masdin
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...