Saturday, 9 March 2013

Basikal tua






Minda celaru, jiwa rimas,
Cuba memahami deruan angin,
Yang kian buas menampar pipiku,
Cuba tenang,
Melontarkan pandangan diluar jendela,
Jendela berkain lusuh..

Aku lihat hanya basikal tua itu disitu,
Ku pejam mata bundarku,
Membayangkan sesuatu yang diluar mindaku,
Mengharap bunga merah darah itu dipandanganku,
Deruan angin yang lembut menyentuh manja hujung pipiku,
Rumput menghijau yang segar...

Ku celikkan mataku,
Tetap sama.

Basikal tua itu didepanku,
Rupanya ia akan tetap di situ..

Semuanya aku yang boleh mengubahnya,
Bukan hanya mengharap dan melihat,
Tapi harus berdiri dari dudukku,
Keluar dari rumah usang itu,
Melangkah tanpa henti,
Menggangkat basikal tua itu jauh dari pandangan,
Menyimpan kemas..

Masa untuk aku mula mencapai anganku tadi,
Bunga merah darah yang mekar,
Rumput hijau yang segar,
Mungkin kadangkala angin tetap akan kasar menyentuhku,
Tapi harus kuat dan tidak mengeluh.

JIWA INSAN





Ku genggam jiwaku,
Senandung cinta semakin merdu berkumandang,
Kadangkala titisan airmata mengalir jua,
Membasahi jiwa kecilku..

Cuba untuk teguh berdiri,
Walau selalunya lemah,
Kerana dihadapanku  penuh onak dan duri.
Cuba untuk kuat berlari,
namun kakiku lemah tak berdaya..
Cuba mengerti lirik lagu jiwaku,
Cuba untuk menyelami laut hatiku,
Yang darahnya kian mengelegak sedih,
Tidak mengerti mengapa,
Hati ini lemah sebegini.
Lagunya seperti violin usang itu,
Dipetik pelan dan sunyi.

Jiwaku Ya Allah,
Sejuk dan lemah ini,
Ingin mengubah dunia jahil ini,
Namun diriku juga jahil.

Diri ini Ya Allah,
Menangis teresak-esak,
Di hadapanMu mengharap pujukan jiwa,
Ku buka lembaran suci itu tika senja maghrib berlalu,
Sungguh Engkau memahami jiwa hambaMu ini..

Hatiku lemah tanpaMu..

7/3/2013 : sebelum indah asar bertemuku

Daerah sementara.



 

Ya Allah..
Hambamu semakin alpa menuntun cinta di daerah sementara ini,
Menuntun cinta yang sia-sia merosakkan diri,
Hinggakan  bilamana dikhabarkan tentang azab menanti,
Menutup telinga dan hati dikunci,
Menolak tepi agama suci ini.

Ya Rahman,
Saat diri di ambang sakaratul maut,
Baru diri tahu apa makna taubat,
Namun segala2nya sudah terlambat,
Dikunci mulut,
Di biar menderita sakit,
Ditunjukkan kepadanya azab dan seksa di akhirat,
Tidak berdaya memohon taubat,
Alangkah ruginya umat.

Maka Ya Allah,
Sentuhlah hati dengan petunjuk cintaMu.
Tidak sanggup hidup dengan dosa,
Maka kuatkanlah hambaMu,
Untuk menggapai RedhaMu
Hingga saat akhir hidupku..

19/2/2013 (9.33p taman indah permai)

Puisi untukmu, Rasulullah.





Hati ini…
Benarkah mencintainya,
Dirinya menjadi sebutan sepanjang zaman,
Membawa makna hidup yang sebenar,
Menunjukkan jalan cahaya ketika dunia kegelapan.

Dia,
Seringkali terluka namun tetap menjunjung amanah,
Walau matahari dan bulan diletakkan di telapak tangannya,
Dia tetap berdiri teguh, bersama hati  penuh tabah,
Kerana kasihnya pada umatnya yang jahil dan alpa..

Benarkah hati ini,
Merasai cinta padanya,
Mengasihinya seperti dia mengasihi umatnya,
Ataupun hati kotor ini sudah melupakannya..


Aku takut,
Akulah umatnya yang menangisi dunia,
Tetapi tidak pernah menangis kerana merinduinya,
Aku takut,
mungkin akulah umat yang seringkali melupakannya,
Aku takut,
mungkin akulah umatnya yang melafazkan cinta padanya,
Tetapi di bibir Cuma..
Aku takut,
mungkin saja akulah dia insan yang seringkali memandang remeh pesannya,
Aku takut,
mungkin akulah umatnya yang meninggalkan suruhannya,
Aku takut,
mungkin akulah umatnya yang sombong pada Pencipta..
Aku juga takut,
Mungkin akulah umatnya yang dia risaukan dahulu,
Yang memisahkan islam dalam hidup..
Aku takut Ya Allah,
mungkin akulah umat akhir zaman, yang semakin angkuh menggenggam dunia,
Dan tidak mengenali siapa kekasihMu, iaitu Rasulullah..
Aku risau ,
mungkin akulah umatnya yang meninggalkan perjuangan islam,
setelah dia berkorban memperjuangkan agama suci ini.
Aku takut sahabat,
mungkin akulah umatnya yang membiarkan umat islam lainnya terus jahil mengejar dunia.
Aku takut,
mungkin akulah umatnya yang tidak pernah mengingatinya walau sekali.
Aku takut,
Akulah umatnya yang mengagungkan manusia lain,
Selain insan mulia ini, Rasulullah.
Aku malu,
mungkin akulah umatnya yang tidak mengetahui kisah hidupnya,
Sedang dia begitu risau pada umatnya, iaitu aku dan kamu.
Aku takut,
mungkin akulah umatnya yang terbiar tanpa syafaat di akhirat kelak…
  

Ya Allah,
Hidupkan cinta dalam diriku,
Hidupkan rindu dalam hatiku,
Hidupkanlah rasa kasih dalam jiwaku,
Kepada dia kekasihMu,
Kerana sepanjang hayatnya hingga akhir nafasnya,
Dia begitu risau tentang umat akhir zaman,
Dia merindui umatnya,
Dia mengasihi umatnya,
Hingga akhir nafasnya,
Dia masih menyebut dan mengingati kami,
Sedangkan kami Ya Allah,
Sentiasa melupakannya…

Bersama tangisan, hati yang ingin merindui…

Puisi kucoretkan ini, kecewa dengan hati yang semakin melupakannya. Aku mencoretkan puisi ini, bersama tangisan. Kerana malu dengan diri sendiri. Aku umatnya yang melupakannya.. Ya Allah.... maaf Ya Allah. Maaf Rasulullah.. jahilnya aku ya Allah. Istiqamahkan aku dijalan perjuangan ini hingga nafasku  yang terakhir.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...