Thursday 28 February 2013

4 SMK Lohan Pesta Ko-Kurikulum Ranau 2009 (Sayembara Puisi)



ini kenangan semasa masih menjadi pendeklamasi untuk sekolah..
dengan izin Allah , alhamdulillah banyak kejayaan yang diberikan..
mungkin nanti ana nk start balik kot.. dh lama xberdeklamasi..
:)

semua kerana Allah.. mungkin jalan ini pun boleh bawak dakwah... :)


Tuesday 26 February 2013

Bidadari...




Duhai Bidadari dunia,
ketika panggilan sujud kepada Rabb,
dilaungkan..
Engkau tetap dalam khayalanmu,
terpesona dengan haruman dunia,
yang tidak seharum syurga,
terkesima dengan godaan dunia
yang mencampakkanmu jauh dari cinta Allah...

Allhu Robbi,
betapa kecewa dan hampanya Rasulullah,
jika Baginda melihat bidadari agama kini,
semakin lupa pada nasihat cintanya,
kerana menyanjung dunia,
sedang dunia itu tiada harganya,
hinggalah tersungkur di tangga menuju SyurgaMu ..


originally from : hapsah masdin
at : masjid UMS


Dia dan kematian




Dimatanya ada sunyi,
Merasa takut akan masa depan,
Mungkin didepannya adalah kematian,
Ataupun kehidupan..

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati” (QS. ali-Imran 3:185)

Salam cinta pada sahabat-sahabat yang meneruskan langkah kaki penuh keyakinan, tersenyum manis pada dunia pentas lakonan, ada yang menjadikannya sebagai matlamat diri, namun ada yang menjadikannya ladang buat mengutip semua amalnya untuk akhirat. Mungkin begitu juga dengan kita, bukan?

Aku bersyukur kerana diberi peluang pada Allah, kerana membuka ruang minda dengan matlamat yang jelas tentang hidup, iaitu mengejar redha Allah. Namun setelah mindaku mengetahui matlamat hidupku, mengapa masih senantiasa mengharapkan ni’mat dunia mewarnai nafsuku.

Astaghfirullah ‘al-azim Ya Allah, ampunilah diri hambamu ini karena sering lupa untuk bertaubat.

Mengharapkan dengan penulisan ini mampu membuka jiwa-jiwa kotor kita untuk hijrah ke arah yang lebih baik.

BERMULA CERITA ...

Seperti biasa, ana bersama sahabat serumah berjuang untuk menaiki bas ke destinasi yang sudah menjadi kebiasaan kami setiap hari isnin hingga jumaat, iaitu ke UMS. Ana bukanlah bersekolah disini, namun berpraktikal di Unit Kajian Bencana Alam , Sekolah Sains dan Teknologi , UMS.
Betullah apa yang Allah lakarkan dalam surah al-Baqarah ayat 216, berbunyi,

Diwajibkan kamu berperang, sedangkan ia yang kamu benci. Boleh jadi sesuatu yang kamu benci itu amat baik untuk kamu dan boleh jadi sesuatu yang kamu sukai pula amat buruk untuk kamu. Allah Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.

Sebelum memulakan praktikal, iaitu sewaktu berada di kampus, masuk tahun yang kedua, ana bercadang untuk ‘apply’ lesen memandu kereta, dan ana berjaya memperolehinya pada tahun yang ketiga. (lambat sikit. Hikhik , biasalah tu.) ana merancang untuk mempunyai lesen sebelum bermulanya berpraktikal, adalah untuk membawa kereta sepanjang berpraktikal. Masih teringat lagi kata-kata mama, iaitu insan yang benar-benar banyak mengajar ana untuk berdikari, sejak kecil hingga kini.

Kalau mau bawa kereta pegi praktikal, sa belilah sendiri. Boleh?

Masa itu ana tidak mengeluh, ana hanya tersenyum, dan bergurau dengan mama. Mengatakan kalau ada kancil buruk pun dah ok dah. Tetapi ana tahu di sudut hati mama , dia merasa sedih kerana tidak mampu untuk merealisasikan permintaan anaknya, malah jauh disudut hatinya, mama mahu anaknya berdikari dan cuba untuk mengenali dunia, bermula dengan kesusahan. Terima kasih mama.

Insan yang benar-benar tahu apa yang terbaik buat diri anaknya.

Ternyata kini ana benar-benar bersyukur dengan keadaan ana sekarang, menaiki bus ke destinasi yang di ingini. Kenderaan besar yang menempatkan bermacam-macam jenis manusia. Termasuk diri ana.

Berbalik kepada ayat Allah di dalam Kalam Furqan, sesuatu yang kita ingini tapi Allah tak bagi, mungkin kurang baik buat diri kita, Allah maha mengetahui. Kalaulah ana menaiki kereta, mungkin ana tidak akan berjumpa dengan masyarakat, tidak dapat melihat dan merasa sendiri keadaan masyarakat. Ana mula berbisik dengan diri ana, Allah tahu ini yang terbaik untuk diri ana, mengajar ana untuk berdikari. Mungkin selama ini ana manja sangat  kot. J
...............................................................................................................................

Sesampai sahaja ana ke UMS melalui pagar belakang, terus sahaja melalui jalan yang ana dan sahabat biasa lalui, iaitu melalui bangunan SST berdekatan dengan kolam. Tiba-tiba kami dikejutkan dengan seekor burung kecil terbang, cuba untuk melarikan diri dari kami. Namun burung tersebut jatuh ke tanah. Ana bergegas mendekati burung yang kelihatannya seperti cedera, cuba untuk mengambil tubuh kecilnya, lembut. Pada mulanya dia seperti takut dan ingin melepaskan diri, namun akhirnya dia redha tubuhnya diusap lembut

Menyedihkan bilamana ana mendapati ada dua ekor semut mengigit matanya, ana cuba untuk menyelamatkan dirinya yang nyata terseksa.

Terus sahaja membawanya ke ruang pejabat, mengambil kotak dan sahabat memberikannya air. Ana cuba memberinya roti. Namun, dia tidak menyentuh makanan yang diberi.

Dia takut kot’ fikir ana cuba untuk memujuk hati.

Walaupun baru sahaja ketemu, ada perasaan kasih  pada burung tersebut, turut memberinya gelaran , iaitu Cica. Terdetik di hati untuk membelanya.

“ Ekin, nak belalah dia, nanti dia dah sembuh sikit barulah nak lepaskan dia.” Kataku

A’ah ok gak tu ” jawab sahabat ana.

Namun ketentuan Allah itulah yang terbaik. Ketika ingin bersiap untuk bertemu dengan Allah di waktu DhuhaNya, sebelum keluar dari pejabat, burung tersebut sepertinya ingin keluar dari kotak tersebut. Dia meronta-ronta.

Ana terus sahaja membawanya keluar dari ruang pejabat, meluru ke bangunan Makmal, berjumpa dengan Makcik Cleaner yang agak rapat dengan ana.

Hati ana terasa sebak, bila melihat keadaan burung tersebut, dimatanya menggambarkan ketakutan. Cuba untuk meletakkanya di telapak tangan kasar ana, mengusap lembut paruh kecilnya. Cuba untuk menenangkan dirinya. Dia sepertinya merenung mata ana, ingin meluahkan rasa takut pada nasibnya. Bilamana ana mengusapnya, dia mula tenang. Namun hanya seketika, dia mula menggeletar kesakitan, ana terus mengusapnya, ana cemas. Cuba untuk memberi minum, namun tidak ditelannya. Badannya mula merasa sejuk, dia bertarung dengan kesakitan. Dia merenungku, ingin meluahkan kesakitan yang dia rasai. Ana masih mengusapnya, diam merenung burung tersebut, tidak mampu berbuat apa-apa untuk meringankan rasa sakitnya. Kaku berdiri. Hati rasa sedih.

Akhirnya dia pergi selamanya, waktu itu ana rasa terlalu sakit. Dia merenung ana sewaktu matinya, dengan mata yang berair. Menggambarkan kesakitan dan ketakutan ketika kematian menjemputnya.
Ana mengorek lubang menggunakan marmar yang pecah, di tengah kebun bunga berdekatan makmal SST. Menanam jasad burung kecil yang ana beri gelaran Cica, di bawah pohon bunga. Sampai di situ kisah ana dan dia.

Ana mula terfikir, berfikir dan cuba untuk menafsirkan. Tentang kematian yang menjemput tanpa diundang. Kematian yang menunggu masanya di hadapan kita. Ketika kita berseronok dengan dunia , kematian menjenguk pintu jasad kita. Membawa pergi roh kita ke alam lainnya. Bilamana kita katakan AKU TAK SEDIA LAGI! Malaikat maut tetap setia dan punctual dalam menjalankan tugasnya. Taat dengan perintah Allah. Apapun rintihan kita waktu itu, dia tidak akan mendengar dan mempertimbangkan urusan itu.

Benarlah! Manusia tidak mampu mengubah ketentuan Allah, bilamana Allah kata dia akan mati pada saat itu, maka saat itulah dia akan mati. Sebanyak mana ana suapkan air ke paruh burung tersebut, harapan agar dia akan sihat, dia tetap mati. Kerana itulah saat kematiannya yang tertulis di Lauh Mahfuz.

Bersyukur kepada Allah, kerana menemukan ana dengannya. Mengingatkan ana tentang mati itu menyakitkan. Dari matanya yang mengalirkan airmata, menggambarkan kesakitan yang tidak terperi rasanya. Ketika dia cuba meronta untuk keluar daripada kotak tersebut, menampakkan dia takut untuk berserongan saat kematiannya. Kerana bilamana ana mengeluarkannya dan meletakkannya di telapak tangan ana, dia sedikit tenang. Bersyukur jua kerana Allah takdirkan ana menaiki bus, dapatlah ana mengaut segala hikmah yang mematangkan jiwa.

Dia telah merasa sakit tersebut, dan tentunya burung tersebut rumahnya kelak membahagiakan, iaitu Syurga. InsyaAllah.

Namun bila ana fikirkan, bagaimana pula dengan ana? Merasa sakit yang lebih lagi berbanding dengannya? Dan di mana destinasi seterusnya? Sememangnya bukan seperti menaiki bas, kita yang akan menentukan dimana destinasi yang ingin kita kunjungi.

Beringatlah diri dan sahabat, bahawa kematian itu bukan benda main-main seperti mana hidup juga bukannya perkara yang main-main. Pastinya untuk menentukan destinasi yang lebih kekal.

Ingatkan aku tentang Mati, bukan tentang keindahan Hidup yang membuatkan aku lupa tentang Destinasiku selepas kematian.

cakap biar hidupkan hati <3


Cuba untuk memberi agar Allah redha.






Salam cinta buat diri dan jiwa yang kadang-kala tewas dengan nafsu yang cintakan dunia. Astaghfirullah..
Masa aku menulis ini, bertarikh 26/2/2013. Masa ini, kehidupan aku  jelas berbeza dengan angan-angan aku sewaktu kecil. Namun lebih baik daripada angan –angan yang tidak didasari ilmu itu dulu. Dulu diriku jahil, jahat disinari akhlak yang sangat buruk. Senantiasa malu bila mengingati masa laluku, penuh dengan penipuan buat jasad yang masih tidak tahu matlamat hidup. Bersyukur pada Allah kerana menjentik jiwa ini untuk bertaubat, saat itu air mataku sentiasa mengalir deras memikirkan tentang dosa yang tidak tertanggung tubuh. Allah.. Allah..

Setiap detik memikirkan dosa yang terlalu banyak, malu melihat jasad yang kotor dengan dosa. Saat itu merasa diri jahil sejahil jahilnya. Malu untuk pandang ke belakang, malu untuk memandang masa lalu. Namun baruku fahami mengapa Allah meletakkan aku dengan masa lalu yang sebegitu rupa, agar aku lebih bersyukur dan memahami saudara seislam yang seperti aku suatu masa dulu. Membuatkan aku tidak mudah menghukum manusia. Alhamdulillah Ya Allah.

Kini aku mengerti matlamat hidupku, namun mengapa hatiku rasa kosong. Mungkin kerana riak dijiwa, sedangkan aku tidak punya apa-apa. Aku tidak tahu dimana air mataku dulu, yang sentiasa mengalir saat maghrib menjenguk dunia. Aku tidak tahu dimana maluku pada Allah yang menebal pada tubuhku masa lalu. Aku buntu dimana taubatku yang dulu sering ku sujud kehambaan. Ya Allah, benarlah Engkau yang membolak balikkan hati hambaMu. Pegang hatiku Ya Allah, agar sentiasa merendahkan hati buat akhirat yang lebih bersinar.

Allah menemukan aku dengan sahabat syurga yang begitu indah akhlaknya, membuat aku lebih dekat dengan perjuangan islam. Cuba memahami apa itu taat pada Qiyadi, cuba memahami gerak diri sebagai Jundi. Namun Allah memberi kesempatan yang sangat singkat untuk aku di peringkat jundi. Allah menyerahkan bahuku dengan amanah yang sangat berat, sehingga kakiku sebelahnya di lubuk neraka. Nauzubillah..
Amanah yang ana kira sangat berat, hingga tidak tertanggung bahu. Cuba untuk jasadku tempuhi, namun masih merasa sesak. Aku mencari pertolonganMu ya Allah, hanya Engkau yang tahu gerak jiwaku tika itu. Tidak mampu bernafas lega, nafas tersekat-sekat, kadangkala rasa semput. Namun kugagahi. Setiap hari air mataku mengalir, kerana takut pada azab mendatang. Diriku merasa berat setiap kali melangkah. Namun benarkah aku telah laksanakan segalanya dengan bersungguh-sungguh? Aku takut ya Allah, andai aku tidak berjaya. Ampunkan Daku ya Allah. hambaMu yang cuba untuk belajar untuk bertatih mencari cahaya redhaMu.

Kini kuteruskan langkah, Engkau tarik taklifan tersebut, hanya sampai disitu. Sekali lagi tubuhku menggeletar, seperti mendengar bisikan persoalan dimindaku. ‘ benarkah engkau telah membuat yang terbaik? Benarkah sudah cukup? Benarkah engkau memikul taklifan tersebut dengan baik? Kerana semuanya akan dipersoalkan di masyar!’ air mataku lantas mengalir, aku rasa takut. Hanya Allah yang tahu gerak jiwaku.
Membawa diri ke negeri kelahiranku, bertatih untuk mengenali diri. Diri yang dirasakan berseorangan. Jelasnya aku salah! Rupanya ada Allah di sampingku. Ku teruskan langkah membawa risalah dakwah, namun kadangkala merasa lemah. Kugagahi jua tubuh kecil dan lemah ini. Mengorak langkah perjuangan, bersama yakinnya Allah bersamaku, menjadikan kenderaan panjang itu sebagai kenderaan jihadku. Menaikinya kemana-mana, berseorangan , cuba untuk mengerti dan merasai kehidupan sebenar di tengah masyarakat yang jauh dengan Allah.

Cuba untuk mencari hikmah kehidupan disetiap langkah. Alhamdulillah Allah permudahkan segalanya.
Namun, ditengah perjuanganku, satu berita mengejutkan hatiku. Berita buat perancangan mendatangku, aku terkedu. Arimataku sekali lagi mengalir deras, memujuk hati yang keliru. Adakah aku belum bersedia? Cuba untuk mencari jawapan dengan petunjuk Allah di istikharahku. Dan akhirnya tenang hatiku untuk menjemput berita tersebut masuk ke dalam hidupku.

Disebutkan gerangan yang menjemput berita itu, sekali lagi aku terkedu. Layakkah aku ya Allah? Sedang aku tidak sehebat yang disangka, tidak pernah melakukan sesuatu buat islam. Berbeza dengannya. Memohon agar Allah menjawab keliru hatiku, akhirnya Allah memudahkan. Ku teruskan hajat berita itu. Kerana Dakwah dan perjuangan islam aku meneruskan. Kerana kesedaranku tentang kepentingan untuk melahirkan masyarakat yang biah solehah.

Sungguh meminta agar Allah menggenggam erat hatiku agar tidak jatuh pada zina hati yang berpanjangan. Aamiin. Juga mengharap agar Allah memudahkan segalanya urusan berita ini. Aamiin.

Aku teruskan hidupku, dengan nafas syukur atas segala ketentuanMu. Meneruskan hidup dengan semangat untuk mengenali hikmah kehidupan. Cuba untuk memberi agar Allah redha.

Sungguh Redha Allah itu mahuku...
From : haurasolehah.

keagunganMu Ya rabbi



lebah itu hinggap, menghisap madu debunga di taman firdausi
beburung itu terbang bebas melebarkan sayapnya dilangit nan tinggi
bebunga mekar...
dedaunan menghijau...
merimbun sang flora dihiasi berjuta warna
mewangi harum di taman yang indah
bersama bunyian sang fauna yang menceriakan rimba

dilangit biru meninggi tak tergapai oleh tanganku
dilautan luas tak bisaku selam misteri di dasarnya
di kerak bumi yang tak mungkin bisaku tafsir 
segala rahsia keagunganMu...ku akui.
seluruh alam bertasbih memuji betapa besar kekuasaanMu
syukurku panjatkan 
kerna diberi peluang menatap kebesaranMu.

syukur ya Rabbi
atas keindahan yang telah kau berikan
diatas muka bumi yang ku sedar hanyalah pinjaman cuma
adakah akanku tatap lagi indahnya sang pelangi?
adakah bisaku cium lagi keharuman kasturi?
adakah masih ada ruang untukku miliki secangkir kasih?
adakah masih diberikan peluang untuk aku menghayati ayat-ayat cintaMu ya Rabbi?
atau
adakah aku insan terpilih meraih cinta ilahi?
inilah kehebatan kasih ilahi
tapi terkadang kita merobek cinta itu
lalu, menjatuhkan diri kita ke lembah kejahilan dan kealpaan dunia.

dunia ini indah
tapi, diakhirat adalah lebih
tak tercapai oleh akal manusia
dunia ini pinjaman... sementara
tapi akhirat itu hakiki...kekal abadi.
kasih manusia itu ada
tapi kasih Allah itu sempurna.
keagungganMu melebihi segala yang terpandang oleh kita.

originally from my Older sister : Marlineh Masdin

Monday 18 February 2013

JOM DAKWAH dengan gambar2 berbunyi dakwah..

ASsalamUalaikum.
buat sahabat2 yang disayangi..

ana ada mengedit gambar2 dakwah,
boleh lah sebarkan pada sahabt2 facebook..


:)

JOM DAKWAH








jom sama2 sedarkan diri kita dan orang sekeliling tentang Allah.. :)

Thursday 14 February 2013

harga JIHADmu




Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjihad  dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar.
                                                                                         (Surah As-Saff : 10 – 12)

Menyingkap tajuk yang menjadi sebutan para du’at, iaitu mengenai JIHAD. Popular dalam kalangan insan yang mengejar cinta Allah, yang memahami kewajiban mengajak insan sekeliling agar kembali meluruskan cinta yang hidup dihati hanya buat yang layak, iaitu Allah. Dengan ajakan dan tawaran Allah dalam kalam cintaNya pada surah as-saff ayat ke 10 -12, tentang satu kemenangan yang nyata buat hambaNya yang berjihad dengan harta dan jiwa menegakkan agama islam.

Kenali apa itu JIHAD.

Jihad , bermaksud bersungguh-sungguh. Bukan sahaja dalam perjuangan menegakkan islam, namun berjihad dalam semua perkara. Berjihad untuk mendapat ganjaran yang terbaik, iaitu redha Allah, dan akhirnya di akhirat Allah hadiahkan Syurga Adn yang dibawahnya mengalir sungai-sungai. Indah bukan? J

Namun apa yang ana ingin kaitkan dengan jihad untuk entri ini adalah mengenai JIHAD menegakkan agama Islam.

Hati-hati dengan JIHADmu..

Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, dan kamu berjihad membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
                                                                                                (Surah As-saff : 11)

Bilamana seruan jihad dikuatkuasakan dalam quran, mengajak para muslimin untuk berjihad menegakkan agama Islam. Ada yang menolak dan ada yang meninggalkan seruan tersebut. Sedangkan tertulis nyata tentang balasan yang begitu mengiurkan, Allah sediakan buat mukmin yang berjihad di jalanNya, iaitu syurga ‘adn. Siapa lagi yang lebih menunaikan janji selain daripada Allah? Tanya hati anda yang seringkali ragu-ragu meneruskan jihad, kerana takut dunia menjauh. Adakah syurga tidak mengiurkan buat diri hambamu itu?

Namun apa yang ingin ana sampaikan buat entri kali ini ialah tentang bagaimana corak jihadmu. Maksudnya? Confused dengan soalan ana?? Jangan risau, sekejap lagi kita akan rungkaikan ikatan kekeliruan itu.

Pemikiran para du’at kini adalah , kalau berjihad, insyaAllah dapat syurga, dalilnya adalah surah as-saff ayat 10-12, bahkan kalau berjihad, Allah beli diri kita digantikan dengan syurga, dalilnya, surah at-taubah ayat 111. Betul tak?? Angkat tangan or kenyit mata belah kanan jikalau setuju.. hikhik.. ^^

Memang benar, insyaAllah Allah janjikan syurga buat mereka yang berjihad dijalanNya. Tapi pernah tak kita ambil tahu tentang ayat pertama sebelum Allah sebut tentang jihad di jalan Allah. Meh sini, ana tunjuk sikit ayat apa yang ana maksudkan.

Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya...
(surah as-saff : 11)

Allah sebut, kamu beriman kepada Allah dan Rasul, setelah itu barulah Allah sebut dan kamu berjihad membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu. Ada nampak???

Salah satu masalah para du’at kini adalah, berjihad tanpa menjaga iman kepada Allah dan Rasul. Surah at-taubah ayat ke 111 turut menyebut orang-orang yang berIMAN yang berjihad dengan harta dan jiwa, yang Allah akan beli mereka dengan syurga yang dibawahnya mengalir sungai-sungai.

Kita sibuk berjihad, namun solat entah kemana, adakah Allah akan beli kita dengan syurga?

Kita sibuk berdakwah, namun seringkali bersangka buruk pada sahabat-sahabat, Allah beli dengan syurga?

Sibuk berjihad menegakkan islam, namun mengumpat, mengata menjadi kebiasaan.

Sibuk berjihad, namun seringkali membohong.

Apakah ini dikatakan jihad?

Berapa harga jihadmu nak digantikan dengan syurga Allah... fikir sahabat.

Namun pemikiran kita hari ini, asal saja berjihad sudah mencukupi. Hubungan dengan Allah tak jaga. Diri disinari dengan akhlak syaitan, di harumi dengan keduniaan.

Itulah yang ana cuba untuk bawakan pada entri kali ini. Hal ini kerana, apa yang ana lihat dalam dunia para du’at kini, mengabaikan ayat beriman kepada Allah dan Rasul dalam jihad mereka. Bukankah jihad menjadi sia-sia Cuma? . Sama-sama kita muhasabah dan muhasarawak tentang jihad kita. Kerana semuanya didasari dengan corak niat kita.

Jihad tanpa iman kepada Allah dan Rasul itu sia-sia,

Namun tanpa jihad dalam kehidupan, bukankah diri rugi?

Selamat berfikir ye para du’at dan kekasih dakwah..
.......................................................................................................................Hapsah Masdin..........

Tuesday 12 February 2013

Lakaran perjuangan





I
Tidak lama dahulu,
Bau-bau penjajahan hilang,
mengangkat kaki keluar ke seberang,
meninggalkan darah-darah tercalit pada jiwa,
jiwa anak muda yang terseksa merana,
laungan merdeka dibibir umat,
mengangkat tangan bersama tangisan,
kemenangan buat mereka,
bebas buat selamanya…

II
Namun segalanya hanya sementara,
Mentari nasionalisme memancar terang,
Menerangi dada buta umat,
Meninggalkan islam dihujung kaki,
Mencabik islam sehingga lumpuh,
Mengotori dada umat dengan dunia,
Merancang kebaikan bersalut dosa,
Dan kini umat Kekasih Allah kian menjauh…

Andai saja mereka tahu kisah sebenar tentang hidup,
Tentu saja mereka tahu siapa Hang Tuah siapa Hang Jebat,
Namun mereka buta,
Kerana radiasi alpa yang mereka pancarkan itu,
Benar-benar membutakan hati dan jiwa,
hingga tak terlihat cahaya disebalik kabus dosa itu.

III
Kini tiba masanya kebangkitan umat,
Membawa cahaya islam ditengah kejahilan,
Kitalah syabab yang rela berjuang,
Berentap hebat di pentas fikrah,
Mengasah tajam keris keilmuan,
Menuntun indah hati padaNya,
Bersamping semangat segak disisi,
Mengharap syahid di hujung perjuangan

Kebangkitan kita wahai syabab,
Pastinya buat kegemilangan islam di bumi ini,
Agar segenap penjuru merasai rahmatNya,
Bukan untuk saja-saja disini,
Bukan sekadar menghiasi perjuangan,
Tetapi sama berjuang hingga terkorban.

Kekotoran yang mereka cipta di ruang dunia,
Benar-benar mencabar Pencipta,
Mendabik dada yang jahil,
Tidak malu dan tidak takut pada azab menanti..

IV
Wahai sahabat kuntuman cinta,
Teruslah disini bersama berjuang,
Walau terpaksa dicaci dihina,
Kerana Kekasih Allah turut merasa derita,
Lebih perit lebih menyeksa,
Menyeksa tubuh insan semulianya.

Wahai sahabat haruman syurga
Bersyukur kita kepada Allah,
Memilih tubuh hina ini bersama saf jundullah,
Andai kami rebah sebelum kemenangan,
Redhalah perjuangan kami menjadi bekal di masyar,
Agar mampu kami bertemuMu dengan senyuman,
Menetap di Jannah seharum kasturi.

Maka  Ya Rahman,
Teguhkanlah hati kami di jalan ini,
Biar terkorban bersama cintaMu…

Alhamdulillah Ya Allah,
Kerana menyentuh jiwa kami
Bersama perjuangan islam..

Nukilan : Hapsah Masdin

8/2/13 4.40pm


Monday 4 February 2013

APA NAK JADI KAU NI YOB..



Terseksa jiwa, hati berdarah..
Penantian bantuan saudaramu yang kaku dan parah,
Saudara seislammu yang kini lupa kewujudanmu,
Sungguh!
Saudaramu yang hanyut dengan kesenangan dunia,
Sedang engkau disana bergelut nyawa,
Walau saudaramu membiarkanmu, ketahuilah,
Bahawa Allah itu ada disamping, dan di sisimu,
Maka jangan lupa untuk memohon padaNya,
Dialah tempat pergantungan teragung..

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara...”
(Surah Hujurat : 10)


INI KISAHNYA..

Isu umat islam di Rohingya yang ana kira majoriti umat islam kurang peka dan kurang tahu tentang hal ini. Anda tahu??? Tak tahu ea... ok xpe.. Ana bawakkan kisahnya dilembaran blog ini buat tatapan jiwa dan minda anda.

Siapa mereka? Mereka adakah kaum minoriti di Myanmar.  Sekiranya kita ditanya mengenai umat Islam di negara manakah yang tertindas ketika ini, nescaya yang kerap keluar dari mulut kita adalah Palestin, Syria, Afghanistan, Iraq, dan sebagainya. Tapi, berapa ramai di antara kita yang ambil tahu tentang penindasan yang berlaku terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar (Burma) sejak sekian lama?

Isu Rohingya adalah isu umat Islam sejagat. Jadi, luangkan sedikit masa dan rajinkan diri membaca untuk mengambil tahu isu ini. Ingatlah, bahawa mengambil tahu dan mempunyai kepedulian terhadap orang lain terutamanya saudara seaqidah adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh agama Islam yang luhur ini sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud,

“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya”

1. Sejak 3 hb Jun 2012 baru-baru ini, 10 orang Muslim di Taunggote, daerah Tongu dibunuh dalam sebuah bas yang sedang pulang dari majlis Tabligh untuk kembali ke Rangoon, oleh sekumpulan pengganas dan kumpulan rasis etnik Rakhine.

2. Mereka diserang setelah seorang wanita Rakhine dikatakan telah dirogol dan dibunuh oleh orang Rohingya. Lanjutan itu, puak pengganas Rakhine Buddha telah menyerang semua penduduk Islam di Akyap, ibu negeri Arakan.

3. Manakala kampung Sara Prang dan Tarang Shong di daerah Rathidong telah dibakar semuanya sehingga tidak ada seorang pun lagi yang tinggal. Akibatnya ketegangan telah tercetus apabila orang Islam Rohingya terus dijadikan sasaran oleh Buddhis Rakhine termasuk di kawasan kampung lain di seluruh wilayah Arakan.

4. Setakat ini pertempuran antara pendudukan etnik Rohingya Muslim dan pihak keselamatan telah merebak ke beberapa perkampungan lain. Laporan yang diterima, polis menembak ke arah penduduk dan sehingga kelmarin beberapa orang telah terbunuh sementara ramai yang cedera.

5. Berdasarkan maklumat langsung dari Maungdaw, sebenarnya ramai umat Islam Rohingya yang telah dibunuh dalam tempoh beberapa hari yang lalu. Dari berita Kaladan Press Network, dilaporkan 100 orang Rohingya telah ditembak mati dan lebih 500 orang lagi cedera di Maungdaw.

6. Namun, mayat mereka yang dibunuh telah diangkut oleh tentera dan polis dan sehingga kini tidak diserah kepada keluarga yang berkenaan. Oleh sebab itu tidak ada maklumat tepat bilangan yang terbunuh sehingga kini.

7. Pelarian Rohingya di Malaysia melaporkan bahawa mereka berhubung langsung dengan keluarga di Arakan dan mendapati ramai yang tercedera tapi tidak dibenarkan mendapat rawatan di hospital. Akibatnya ramai yang mati dalam keadaan tidak mendapat ubat dan rawatan yang diperlukan.

8. Lebih memeranjatkan, pihak keselamatan, polis dan tentera, kini dilaporkan telah bekerjasama dengan etnik Rakhine untuk melancarkan serangan ke atas etnik Rohingya Muslim. Walaupun darurat diisytiharkan di Maungdaw dan kini di seluruh Arakan, pihak polis dan pengganas Rakhine dilaporkan terus menyerang penduduk Rohingya tanpa belas kasihan.

9. Pihak berkuasa telah menguatkuasakan Akta 144 yang menghadkan pergerakan penduduk, namun etnik Rakhine telah dibiar bebas berkeliaran di bawah pengawasan polis untuk membakar rumah dan merampas barangan penduduk Rohingya.

10. Setakat ini, berita yang diterima, empat perkampungan telah diserang dan dibakar. Rumah penduduk di sebuah kampung Samamia Para @ Myothu Gitelah dibakar termasuk sebuah masjid turut dirosakkan.

11. Rumah orang Rohingya dikawal rapi oleh pihak keselamatan, namun bukan untuk melindungi mereka, akan tetapi untuk menembak mereka jika mereka keluar rumah. Lantaran itu, penderitaan umat Islam Rohinga dalam beberapa hari ini bertambah parah bila mereka tidak dapat keluar dari rumah untuk membeli keperluan makanan seharian.

12. 9 hb Jun 2012, sebuah kampung iaitu Hazmia Para telah juga diserang dan dibakar. 10hb Jun 2012 , dua kampung paling besar iaitu Warlispara dan Saki Para (dua kampung paling ramai umat Islam Rohingya) yang mempunyai Madrasah dan ribuan pelajar telah diserang oleh pihak Rakhine.

13. Dilaporkan ramai yang terbunuh , masjid dan Madrasah di kampung tersebut juga dibakar. Dari maklumat terkini, semua perhubungan terputus dari Arakan termasuk tidak membenarkan sebarang rakaman mengenai apa yang berlaku di Arakan. Hanya melalui rangkaian telekomunikasi dari bandar sempadan dengan Bangaladesh iaitu Maungdaw sahaja telefon boleh berfunsgsi untuk mendapat maklumat.

14. Kutukan keras dilemparkan terhadap pihak berkuasa Myanmar yang sejak 1982 telah melancarkan penghapusan etnik terhadap kaum Rohingya. Umat Islam Rohingya pernah diperlaku secara kejam oleh regim tentera Myanmar pada tahun 1982 yang mengakibat 100,000 orang Rahingya terbunuh.

15. Kini lebih 400,000 pelarian Rohingya berada di kem pelarian di Bangladesh, 60,000 di Thailand, 150,000 di Pakistan, 40,000 di Malaysia. Puluhan pelarian di kem pelarian di Kutupalong dan Coax Bazar di Bangladesh berada dalam keadaan sangat dhaif kerana pihak berkuasa Bangladesh tidak memberi sebarang bantuan.

16. Nasib umat Islam Rohingya yang berada di Myanmar berada dalam keadaan yang sangat buruk dan sangat tenat. Undang-undang dan operasi keselamatan Nasaka sejak 1982 telah mengakibat kesengsaraan yang berat ke atas Umat Islam Rohingya yang masih berada di wilayah Arakan, Myanmar 

17. Antara penderitaan yang dialami ialah perampasan rumah, tanah, ternakan, pemusnahan masjid, arahan tidak dibenarkan membaiki mana-mana Masjid, ratusan Masjid dimusnah dan diganti dengan Pagoda Buddha, perkahwinan dan pergerakkan yang dihadkan hanya dengan keizinan tentera, penangkapan, penyiksaan tanpa bicara, perkosaan wanita dan pemaksaan keluar dari Islam dan dipaksa mengganut Buddha.

18. Penduduk Rohingya didera sehingga tidak dibenarkan memiliki walaupun pisau atau parang untuk kegunaan di rumah kecuali dengan izin tentera. Malah mereka juga tidak boleh memiliki telefon bimbit. Ada yang ditangkap dan dipenjara sehingga 7 tahun hanya kerana memiliki telefon bimbit.


Semoga kerajaan Malaysia menyatakan pendiriannya mengenai pembunuhan umat Islam oleh regim tentera Myanmar supaya segera mengambil tindakan untuk mengerakkan inisiatif dari pihak ASEAN agar pembunuhan ini dapat dihentikan dan etnik Rohingya dibela dan dilindungi. Kita mesti bertindak tegas jika penyembelihan umat Islam di Myanmar berterusan. Kekejaman regim tentera Myanmar menzalimi umat Islam Rohingya di Myanmar mesti dihentikan!


DILUPAKAN..

Menyedihkan bukan, saudara seislam yang hidup dibenua lainnya hanya tahu melihat. Tanpa bantuan. Apatah lagi yang tidak mengetahui langsung kewujudan saudaranya di Rohingya.

Kita semakin enak mengejar keseronokan dunia. Running Man tak pernah tinggal, lagu Oppa Gangnam style hafal, sekali dengan tarian kuda, isu bercinta selepas nikah hangat dari dulu hingga kini, isu Nikah Khitbah di bibir-bibir remaja, fashion terkini sentiasa terupdate, benda-benda yang kecil sahaja yang kita nampak. Benda-benda lagha inilah pendamping kita. Sungguh! BARAT dan orang-orang KAFIR telah berjaya menutup minda dan jiwa umat islam dengan duniawi. Terjajah dengan cinta dunia. Hingga lupa untuk melihat saudara kita yang memekik dan menjerit memohon bantuan dan kita buat-buat tak dengar.

Bayangkan, anak kita di depan mata kita dibunuh, ditendang, di pukul, dirogol dan macam-macam lagi. Dia menjerit memohon pertolongan daripada kita, tetapi kita menutup mata, menutup telinga agar tidak dapat mendengar dan tidak dapat melihat kesengsaraannya. Adakah seharusnya kita hanya bertindak sedemikian rupa? TIDAK! Sepatutnya kita menghulurkan bantuan. Bukan?

ISLAM DIKOTAK KATIKKAN...

“ Bodohlah dorang tu, kenapalah nak bunuh orang islam. Ape salah dorang??”
“ Kesian dorang..”
“ Doakanlah dorang agar dorang sentiasa tabah menghadapi semua tu. Semua tu Ujian ALLAH.”

 Ana tak tahulah samada anda perasan ataupun tidak tentang benda ni. Apa yang ana lihat perbezaan empayar ISLAM semasa kegemilangannya di zaman Rasulullah sehinggalah Zaman Khilafah Turki Uthmaniyyah dan empayar ISLAM kini.

Apa yang ana lihat, umat islam semakin bodoh kerana  semakin termakan dengan ubat pelali dan ‘dadah’ pengkhayal yang di keluarkan oleh barat melalui HIBURAN, SUKAN, UNDANG-UNDANG, PEMERINTAHAN, MAKANAN, PEMBELAJARAN, PERNIAGAAN, BATAS PEREMPUAN DAN LELAKI, dan macam-macam lagi. Menyebabkan manusia lupa tentang makna penciptaannya. Ana pun confused, ubat apa yang mereka gunakan untuk bagi umat islam diSELURUH dunia ini lupa tentang agama mereka, lupa tentang kepentingan tolong menolong sesama islam. Mengapa ana katakan statement umat islam dikotak katikkan, fenomena umat islam dibunuh beramai-ramai, dibakar beramai-ramai  di benua Afganistan, Iraq, Palestin di Gaza, dan semestinya di Rohingya, TIADA SIAPA YANG MAMPU MENGHENTIKANNYA.. betul tak? Sedangkan kalaulah diberi peluang untuk membuat nisbah jumlah antara penduduk islam dan bukan islam, manusia beragama islamlah yang teramai didunia. Namun mengapa perkara ini boleh berlaku?

Pemimpin-pemimpin umat islam diseluruh dunia yang hanya tahu berbangga dengan pangkat dan kuasa namun sememangnya KAKU dihadapan pemimpin kafir. Kecut dan tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya dengan melawat? TIDAK akan, ana ulang sekali lagi , TIDAK AKAN mampu mengubah nasib mereka. Bilamana umat islam dibunuh beramai-ramai, saudara seislam yang begitu ramai tidak mampu menghalangnya. Memalukan bukan. Kita yang menjadikan umat islam itu dimata mereka tiada harga dan tiada maruah. Boleh dibunuh sesuka hati mereka. Kerana mereka tahu, umat islam tidak akan mampu melakukan apa-apa perubahan dan tidak mampu melakukan sesuatu untuk menghentikan kerja jahat mereka.

Kita imbas kembali sejarah kegemilangan islam yang berakhir pada tahun bersejarah 1924. Semasa zaman rasulullah, tidak ada sesiapapun yang berani untuk menyentuh umat islam. Tidak ada sesiapapun yang mampu menumpangkan kerajaan islam di MADINAH. Semua empayar mengakui kehebatan kerajaan islam waktu itu, termasuklah kerajaan islam ketika Khulafa Ar-Rasyidin, sehinggalah kerajaan Turki Uthmaniyah. Semua empayar diseluruh dunia tidak dapat memperkotak katikkan umat islam. Bilamana ada umat islam di negara lain berperang, maka seluruh kerajaan islam akan menghantar wakil dan tentera untuk menghulur bantuan.

Tapi kini? Tepuk dada tanya iman, mengapa umat islam diperlakukan seperti ini. Sekadar tangisan tidak mampu mengubah nasib mereka.

MENGAPA?

Kerana umat islam kini melupakan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah. Sudah merasa terlalu hebat, padahal sekadar sementara cuma. Memalukan. Saudara seislam kita memohon bantuan, pemimpin masih boleh mempertimbangkan dua tiga hari, dan akhirnya tidak ada bantuan dihulurkan?? Bendelah. Dalam tempoh dua tiga hari masa yang dia ambil untuk berfikir itu, mungkin sudah berpuluh-puluh orang yang terbunuh.
Mungkin ini adalah ujian buat mereka dan ujian juga untuk seluruh umat islam. Allah turunkan ujian ini sebenarnya untuk menyatukan kita, untuk menjadi satu titik permulaan untuk penyatuan kembali umat islam untuk melakar kegemilangan yang telah lama terpadam dan tersimpan di buku-buku sejarah yang kini sudah berhabuk. To unite us.

MUNGKIN...

Kinilah masanya untuk kita fikirkan kembali tentang permasalahn umat islam. Mengembalikan segalanya kepada asal. Sudah CUKUP kita mengagungkan kegemilangan islam suatu ketika dulu yang telah tercatat di ratusan buku, tetapi jadikan ianya satu pendorong untuk kita melakar dan menegakkan kembali syiar islam yang telah lama terkubur. Sekadar kita mengagungkan kejayaan umat terdahulu yang pernah memerintah dua per tiga dunia, dan kita hanya tahu duduk diam di warung-warung jalanan sambil rancak menceritakan sejarah zaman lampau. Sungguh tidak akan mengembalikan kegemilangan itu.

Sudah cukuplah mereka memijak kepala umat islam, kerana KITA BERMARUAH! ISLAM punya kekuatan. Kini masanya kita bangkit kembali membela islam. Bangkit kembali bersujud pada yang Esa, mengembalikan semangat syabab seperti AL-Fateh , mengembalikan kegemilangan kerajaan islam yang disisi Umara’nya ada Ulama.

Mungkin inilah masanya untuk kita bangkit bersama mencipta sejarah kegemilangan islam sepertimana yang pernah tercatat dahulu. Sudah cukuplah dengan angan-angan bodoh remaja kita dengan hiburan melampau, dengan kisah cinta haram yang melalaikan. Kini kita bina cinta pada Khaliq, agar hidup diberkahi Allah.

Inilah mahu kita, Umat yang sedar tentang permasalahan umat seislam. Umat yang begitu dekat dengan Allah, maka akhirnya tidak akan ada UMAT ISLAM YANG DIBUNUH SESUKA HATI seperti mana hari ini...

"Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; "Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang­-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi saw. menjawab, "Bahkan kanu pada hari itu banyak sekali, tetapi kanu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi kita nenjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati"."
                                                                                                     HADIS RIWAYAT ABU DAUD


     Salam maaf dari kami untukmu saudaraku di Rohingya.

> Titisan darah yang mengalir dibumi tapakmu, semoga akhirnya adalah jannah..<
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...