Sunday, 6 January 2013

KEMBARA DAKWAH : BUMI DI BAWAH BAYU



Kembaraku di bumi ini, cuba memahami abstraknya dunia,
Permainannya berjaya mengalpakan manusia,
Adakah aku hanya mampu menghukum?
Sedangkan itu bukan kuasaku, bukan hak aku,
Aku melangkah lagi,
Cuba menyelami hati masyarakat,
Dan baru ku fahami,
Mereka mencari cahaya itu, namun buntu,
Salah mereka kah?
Atau aku?

Alhamdulillah ana panjatkan padaMu Khaliq, memberikan nikmat iman dan islam. Memberi peluang yang entah keberapa kalinya untuk ana terus hidup dan bertaubat, tetapi benarkah ana penuhi waktu yang Engkau berikan untuk aku bertaubat? Atau hanya mensia2kan nikmat ini. Maaf ya Allah, ana sungguh hambaMu yang selalu ingkar, tapi ya Allah kuatkanlah dan teguhkanlah hati ini untuk sentiasa bertaubat.

LURUSKAN NIATKU..

Semoga perkongsian yang tidak seberapa ini mampu membuka mata dan minda manusia termasuk diri ana untuk lebih bersyukur dan meletakkan Engkau sebagai matlamat. Ana takut perkongsian perjalanan ini untuk meminta pujian manusia yaAllah,maka Engkau luruskan niatku ya Allah. Ana hamba yang penuh dengan sifat mazmumah, dan beri ana kekuatan untuk berubah. Ana hambamu yang kadang kala atau mungkin juga selalu takabbur dan riak, kadang kala atau mungkin juga selalu sombong padaMu ya Allah. 
Luruskan niatku ya Allah.

PERJALANANKU

Perjalanan ana hari ni berharap redha Allah itu bersama setiap langkah, setiap nafas dan sepanjang perjalanan. Mengharap agar sentiasa diberkati. Sungguh Allah itulah yang memberi kekuatan untuk ana teruskan perjuangan ini. Seperti biasa, menaiki bus T.U.T dari dalam UMS ke tengah bandar Kota Kinabalu . Membawa diri yang hina untuk berkerja seperti yang disuruh oleh Khaliq. Dalam bas, sudah menjadi kebiasaan ana untuk mengambil tempat duduk yang bersebelahan dengan tingkap, rasanya sejak kecil mulanya, bezanya dulu disebelah adalah mama sekarang hanya sendiri. Sepanjang perjalanan ana melihat banyak kereta, ana kira semuanya menghala ke pusat bandar, maklumlah hari sabtu. Ada yang bersama keluarga, ada yang bersama kekasih hati, ada yang bersendirian dan tidak lupa juga yang bersama sahabat2. 

Teringat ana saat tengah lampu merah, ana terlihat seorang tua yang cuba untuk melintas jalan raya, berjalan seorang diri, terbongkok-bongkok , ana simpati melihatnya, dia sendiri sahaja? Mana anaknya?. Ana juga terlihat, seorang mak, memegang erat tangan anaknya, melihat kiri dan kanan, begitu lama dia mengambil masa yang sesuai untuk melintas, sebak ana melihat. Kasih sayang yang tidak boleh di bayar dengan wang ringgit, ana mendoakan agar anaknya juga begitu bila meningkat dewasa, memegang erat tangan ibunya, melayan ibunya, menjaga ibunya. Bas yang ana naiki mula meneruskan perjalanan , mata ana curi-curi memandang kerenah manusia di setiap kereta bersebelahan bas yang ana naiki. 

Bas berhenti seketika , pastinya kerana kesesakan ‘kumbang-kumbang’ besi yang teramat sangat ketika itu. Mata ana terpandang seorang ayah tersenyum sayang pada anaknya yang duduk kemas di sebelahnya, menunjukkan sesuatu yang menarik di telefon bimbit kepada anaknya. Ana tersenyum, rasa bahagia dan berbaur sebak. Kasih sayang yang ikhlas buat ana turut merasai kebahagiaan mereka. Bas meneruskan perjalanan.

Tiba sahaja di bandar, ana berharap agar  segala-galanya Allah permudahkan, ana menaiki lagi sebuah bas untuk ke sebuah shopping complex. Berhimpit-himpit manusia ang menaiki bas tersebut, hakikatnya ana lebih suka berjalan kaki untuk ke sesuatu destinasi di pusat bandar, kerana ana fikir tidaklah begitu jauh dengan terminal bas. Sekali sekala menukar cara, mungkin ada yang ana boleh pelajari. 

Tiba sahaja ke destinasi, setelah solat zuhur barulah ana meneruskan matlamat ana yang sebenar. Langkah di pacu, menuju ke jalan berbumbung yang begitu ramai orang menggunakannya sebagai jalan utama ke shopping complex tersebut, ana mencari kekuatan, mula mengedarkan flyers dakwah yang kemas tersusun di genggaman ana, alhamdulillah segalanya berjalan lancar. 

Terima kasih ya Allah, memudahkan urusan ana. Walaupun ada yang cuba untuk mengelak, ada yang tidak sudi mengambil flyers itu, tapi majoritinya menerima dengan senyuman. Ana berdoa agar dibukakan hati mereka, dilembutkan hati mereka untuk kembali pd fitrah. 

Dalam perjalanan ana mengedarkan flyers itu, ana berjalan kaki melihat ragam masyarakat, bila di fikirkan ana ni macam mengembara di negeri sendiri. Tapi seronok juga. Dalam perjalanan, ana melihat seorang ramaja lelaki mengangkat sebakul mangga, kelihatan begitu berat sekali, di sampingnya ada seorang wanita yang sarat mengandung, bilamana ana mendekati mereka, ana dengar mereka berbicara,

berat mak, ” kata remaja tersebut sambil tersenyum ikhlas.

Ibunya tergelak melihat anaknya,  saat itu ana pun mula memberikan flyers tersebut. Dalam hati ana, ‘baiknya anak dia, beruntung mak dia.’. Rasa bahagia turut menyelinap masuk dalam jiwa ana. 





Ana terasa bahagia melihat ragam yang pelbagai daripada masyarakat, kerana bahagia dengan hidup mereka, tetapi menjadi tugas kita untuk menyedarkan tentang islam agar mereka bahagia di akhirat jua.

Ana teruskan langkah, ana bergerak masuk ke dalam shopping complex. Seusai sahaja mengisi perut, ana melangkah keluar, ana lihat tiga anak muda yang duduk, berseluar pendek, rambut berwarna, sambil menghisap rokok, ana kira umur mereka lagi dewasa berbanding ana. Ana mendekati mereka, rasa takut dalam hati, tapi ana cuba untuk gagahi jua. Memberikan tiga keping flyers dan meminta izin untuk ditangkap  gambar, mereka memberi respon yang amat diluar jangkaan ana. Mereka begitu ramah, siap bergurau untuk di ‘tag’ gambar tersebut di facebook lagaknya. Ana mengukir senyuman, namun terfikir sejenak, sayangnya anak muda ini, di biarkan tanpa ada sesiapa yang menegur, di pandang serong, di hukum itu dan ini, tapi ana lihat di mata mereka, mereka sebenarnya inginkan cinta Allah, Cuma perlu ada pembimbing. Seperti mana Rasulullah mengajak manusia di makkah untuk kembali kpd kebenaran. Apa yang samanya? Pada zaman sebelum kenabian Rasulullah, manusia menyembah berhala kerana tidak tahu, sebab itulah Allah menghadirkan Rasululah di tengah-tengah kejahilan masyarakat itu untuk membawa kepada kbenaran. Rasulullah bukan menghukum, tetapi mengajak. Itulah yang samanya, mereka tidak tahu, tidak layak untuk mereka di hukum itu dan ini. 

Teruskan perjalanan, ana kira sudah agak jauh ana berjalan, jam menunjukkan pukul 2.30pm. ana berjalan balik ke terminal wawasan, dalam perjalanan ana terlihat seorang pengemis, dia tergelak-gelak sambil memegang duit syiling, mungkin ada yang memberi. Bilamana ada yang mendermakannya wang, dia tergelak sambil berkata sesuatu yang ana tidak fahami. Di mana saudara maranya, ana buntu. Buntu bantuan bagaimana yang harus ana hulurkan. Mana badan-badan kebajiikan yang kerajaan tubuhkan. Ana teruskan langkah, hingga berjumpa dengan seorang budak kecil, duduk di tepi jalan. Seluarnya koyak, ana mendekatinya, cuba untuk mengenalinya. 

Ana duduk disebelahnya, ana rasa banyak mata-mata yang melihat pelik perbuatan ana itu. Ahh! Biarkan sahaja mereka, ana terus duduk di sebelah budak itu, di tepi jalan raya.






Sailan nama diberi , berumur 12tahun , dia menyatakan dia punya seorang ayah yang berkerja sebagai ‘security guard’, bergaji RM400.00 dan dia sekarang bersekolah di Likas. Dia menyatakan dia baru sahaja mula belajar tahun ini. Berumur 12 tahun dan baru berada di darjah 1. Kasihan bukan, di wajahnya ana lihat ketabahan, dia mengatakan dia rasa begitu susah sekali dengan hidupnya. Meluahkan, guru sekolah menyuruhnya membeli buku dan baju senaman. Sedangkan baju yang dipakainya begitu lusuh, apatah lagi membeli baju baru. Yang menyedihkan ana, ‘kerja’ mengemis di jalan ini tidak diketahui ayahnya, bergerak sendiri untuk mencari duit lebih agar dapat membeli keperluan sekolah. Cukup matang budak ini, walau caranya yang agak salah. Duduk di sampingnya, ana merasai pengalaman duduk di tepi jalan yang kiri dan kanan manusia melaluinya. Ramai yang melihat dan tersenyum sinis, ana tidak pasti apa yang mereka fikirkan. Tapi perit rupanya. Sebelum meninggalkannya, ana sentuh bahunya,memberi pesanan untuk  belajar bersungguh-sungguh, dan dia mengucap terima kasih. Murni hatinya sahabat. Seorang budak yang cuba untuk mengubah nasibnya, sungguh Allah menyayanginya.
Sampai di situ perjalanan ana.

DIA DIMANA??

Perjalanan ana hari ini juga sebenarnya membawa harapan untuk mencari seorang budak kecil yang dulu pernah ana temui terbaring di lorong pejalan kaki . Jauh ana membawa diri, tetap tidak menemuinya. Ana buntu dan kecewa kerana tidak bisa menjumpainya. Berdoa agar Allah menjaganya. 

Ana mendapat tahu, mereka kadangkala tidak ada di lorong berkenaan. Mungkin di tempat lain untuk mencari rezeki. Harap sahaja semoga dia selamat. Ana mendapat tahu, tempat tersebut selalu di pantau oleh polis untuk menbanteras gejala mengemis tersebut, dengan MENGHALAU?. Ana terfikir, inikah jalan yang terbaik untuk membanteras masalah mengemis tersebut? Apakah yang mereka syurakan di peringkat meja bulat dalam kalangan pihak yang berkuasa untuk mencapai kata putus penyelesaian tentang masalah ini. Ana kira menghalau bukanlah penyelesaian yang terbaik. 

TURUN PADANG

Tanggungjawab  pemerintah dan pihak berkuasa untuk turun padang, melihat sendiri keadaan rakyat yang menderita. Bagaimana mereka dapat melihat realiti sebenar keadaan rakyat jikalau hanya duduk di dalam kereta mewah, perlukan karpet merah bila berjalan, memastikan baju sentiasa bergosok, baju baru setiap hari.  Sibuk mengatakan tentang ekonomi negara yang sudah meningkat, hingga menjadikan negara salah satu negara yang berjaya dari sudut perdagangan dan perniagaan. Namun rakyat tetap menderita! 

Andai sekali mereka turun dan berjalan di lorong yang menjadi jalan utama rakyat biasa, menaiki bas buruk untuk ke bandar, baru mereka tahu bagaimana keadaan negara yang sebenarnya. 
Bagaimana kerosakan remaja dan kejahilan remaja tentang islam yang sebenarnya, kerana inilah realiti yang sebenar!. Negara di hujung tanduk, inilah yang dinamakan berTAMADUN pada pandangan dan ukuran  MATERIALISTIK.


SOAL KEMAMPUAN.


Ana terfikir sejenak, ini sahajakah yang ana mampu buat untuk sedarkan masyarakat tentang islam. Kerana siapalah ana untuk bersuara di tengah dunia, siapalah ana untuk menyampaikan ceramah, siapalah ana untuk menguatkuasakan undang-undang. Itu semua ana tidak mampu, jadi adakah ana perlu untuk berdoa sahaja? Menghukum masyarakat sahaja? Melihat dan memandang jijik dengan kejahilan saudara seislam sahaja? Hanya kerana ana tidak punya kuasa? Ana tidak punya pangkat? Hanya kerana ana bukan ustazah? 

Ana fikir sejenak, ana dan antum semua di lahirkan di dunia, untuk menjadi khalifah Allah, sedang Allah tahu manusia itu selalu berbantah, selalu berbuat kerosakan, tapi Allah tetap letak di bahu kita amanah untuk menyebarkan kepada umat agar menyembah Allah dan melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya. 
                                                                              (Al-kahfi : 54)

Allah turunkan kita untuk menjadi khalifah , menjadi dai’e , tapi hanya kerana tidak punya pangkat d dunia, kerana tidak punya kuasa, adakah kita hanya cukup perlu perbaiki diri sendiri membiarkan orang lain? Tidak wahai sahabat, Rasulullah kekasih Allah sendiri memesan kepada kita tentang marhalah-marhalah  yang terbaik untuk menyebarkan islam mngikut kemampuan kita. 

Hadis dari Abi Said Al-Khudri yang bermaksud : “Rasulullah saw telah bersabda : Barang siapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika sekiranya ia tiada berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Maka sekiranya ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemahnya iman.” 
                                                                                                           (Riwayat Oleh Muslim)

Tiga peringkat marhalah untuk menyampaikan islam, dengan kuasa, lisan dan membenci dengan hati. Kita yang majoritinya tidak punya kuasa, dan tidak mampu dengan memberi ceramah , ada pilihan terakhir iaitu membenci dengan qalbi (hati) . Namun ulama’ mengatakan, membenci dengan hati tersebut bukannya hanya membenci tanpa ada tindakan. Tetapi sebaliknya, membenci perbuatan dosa tersebut, dan bertindak mencegahnya sebagai contoh mengedarkan flyers dakwah, dakwah di facebook, dakwah di blog, menampal poster dan sebagainya. Masih banyak uslub (cara) lain yang mampu kita lakukan untuk menyebarkan cahaya islam di bumi sabah ini. Mungkin pendekatan ini, ada segelintir yang akan mula mengenali islam dan baru mengetahui isi Al-Quran. 

Kerana itu, manusia tidak punya pilihan atau alasan untuk melarikan diri daripada amanah ini. Carilah wasilah untuk menyebarkan dakwah walau macamana cara sekalipun. Kerana semuanya akan membantu kita di padang masyar nanti. Kita tidak akan rugi sahabat, malahan kita bahagia dan akan lebih bahagia.

HATI MENANGIS 


Ketika sedang berbual rancak dengan seorang pakcik yang ditugaskan untuk menjaga tabung amal kebajikan. Ana dapat melihat sesuatu yang begitu membuka mata dan hati ana. Hati ana menangis melihat, golongan-golongan yang memasukkan duit di dalam tabung tersebut, ada muslim, ada yang bukan muslim . Dan kebanyakannya yang, rambut berwarna, baju menjolok mata, jeans koyak rabak, lelaki bersubang, sekumpulan remaja yang sosial. Membuka hati ana yang dulu sempit dan seringkali bersangka buruk terhadap golongan ini. 

Ana malu kerana pernah bersangka sedemikian rupa. Seorang wanita yang mengheret barangnya, ana kira seorang yang agak susah kehidupannya, turut sama menyumbangkan hasil rezeki yang Allah kurniakan untuknya. 
Semoga mereka di ampunkan dan di buka pintu hati untuk kembali padaMu ya Allah.

ALHAMDULILLAH

Andai ana tidak turun melihat keadaan realiti masyarakat di pusat bandar ini, ana kira ana tidak akan tahu rupanya ada cahaya yang semakin terang di tengah bandar Metapolitan ini. Dulu ana selalu menghukum masyarakat, kini ana lihat sendiri keadaan sebenar. Ana bersyukur kerana diberi kesempatan dan kekuatan untuk menjelajah agar membuat pencerahan semua tanggapan buruk ana dulu. 



Rupa-rupanya kita yang kurang bersama mereka, untuk memahami cara hidup dan hati mereka, kita terus menghukum tanpa mendekati dan memahami keadaan sebenar. Sepertimana artikel ana yang sebelum ini, kepentingan husnuzhon para daie untuk menyebarkan islam sangat penting. Bagi mereka lihat ada peluang untuk kembali pada fitrah.
Sesungguhnya Allah melihat apa yang kita kerjakan. 

(Yaitu) orang yang sia-sia perbuatannya dalam dunia, sedang mereka mengira telah berbuat sebaik-baiknya.
                                                                                                            (Surah Al-Kahfi : 103)

Sentiasalah refleksi diri dan cuba memahami masyarakat, turun padang yang sebenar adalah dengan mendekati masyarakat melalui hati.

Kini baru ku temui jawapan,
Mendekati untuk didekati,
Memahami untuk difahami,
Mencari jalan sebelum menghukum,
Berusaha sebelum mengalah,
Semoga Allah redha.


Maaf jikalau penulisan ini terlalu celaru, harapan ana agar antum memahami mesej yang ana cuba sampaikan. Semoga islam itu ada di hati setiap insan. 

Redha Allah itu mahuku..


3 comments:

  1. sangat menyentuh hati.doakan diri ini juga punya keberanian utk berbuat demikian

    ReplyDelete
  2. btw, sangat kawai enti punya blog.sile beri tunjuk ajar,senpai!

    ReplyDelete
    Replies
    1. :) farhana.......
      syg sgt kat kamu.. mintak tunjuk ajar jugak syg.. :)

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...