Tuesday, 18 June 2013

Dakwah tanpa cinta




Aku risau melihat diriku dan kamu,
Begitu sibuk menuntun kata-kata,
Kata-kata indah bait-bait puisi,
Namun ditepian kolam dirimu,
Engkau tinggalkan adab dan akhlak,
Tertinggal di bangku lusuh yang kau duduk semalam,
Hingga bila engkau berbicara,
Angin berpasir  yang mereka rasa,
Rimas dan menyakitkan tekak..

“ Dakwah itu cinta ! “ jeritan penuh semangat adik-adik pejuang agama ketika menghadiri satu kem motivasi yang menekankan tentang kepentingan dan kewajipan berdakwah sebagai seorang hamba Allah.

Dakwah itu cinta, tanpa cinta tiada dakwah. Bila disebut sahaja perkataan puitis ini, iaitu cinta, remaja khususnya menafsir perkataan ini dengan cinta antara dua jiwa, iaitu kaum hawa dan adam.
Begitu kuat penangan cinta pada jiwa seseorang, lelaki yang kaya sanggup menjadi miskin kerana seorang perempuan yang dicintainya, seorang ibu sanggup mati hanya kerana cinta yang tertanam buat anaknya. Sungguh cinta itu bukannya sesuatu yang boleh dilakonkan, seperti mana dakwah, dakwah adalah mengajak seseorang daripada murka Allah kepada cinta Allah. Dakwah itu menemukan insan kepada cinta buat Khaliq.

Dakwah tanpa cinta, ibarat pohon tanpa buah.

Ramai orang mengajak manusia kepada islam, ramai orang menegur manusia agar menjauhi zina, ramai orang yang rancak menyusun kata di lorong-lorong mukabuku untuk menyebarkan islam. Namun  berapa ramai orang yang mengajak kerana cinta mereka kepada saudara seislam yang lain? Berapa ramai dai’e yang menggunakan unsur arahan bukan unsur mengajak dalam menyedarkan umat tentang hukum hakam islam?

Ternyata sedikit cuma yang menyedari tentang beza antara MENGAJAK dengan MENGARAH dalam isu menyedarkan umat islam agar kembali pada fitrah.

Dakwah tanpa cinta, boleh di ibaratkan dengan pohon tanpa buah. Pohon yang semakin banyak mengumpul daun kering, batang semakin memburuk, namun hingga akhirnya masih tidak berbuah.

Meletak cinta di dalam dakwah

Terdapat beberapa perkara penting yang harus di pertimbangkan dalam usaha meletakkan cinta di dalam berdakwah,

1. Faham

Perkara pertama yang digariskan oleh Imam Hassan Al-Banna dalam rukun Baiah adalah faham. Imam Hassan Al-banna menggariskan kefahaman adalah perkara penting yang harus ada dalam diri setiap pendakwah, faham tentang kepentingan berdakwah, faham tentang kewajipan berdakwah, faham tentang setiap perkara yang dilakukan. Dengan kefahaman yang jelas, barulah dai’e tahu matlamat sebenar berdakwah dan mengajak manusia kepada Allah.

      2. Ikhlas

Firman Allah swt:
Maksudnya: “Dan tidaklah diperintah kepada mereka melainkan dengan mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan perintah agama dengan lurus”(Al Bayyinah : 5)

Ikhlas adalah perkara penting yang kena ada dalam diri setiap dai’e. Dengan pancaran ikhlas yang ada dalam diri du’at akan melahirkan du’at yang begitu teguh dan istiqamah dalam mengajak mad’u kepada islam. Peranan ikhlas adalah sangat besar terutamanya dalam mengajak manusia kepada fitrah, dengan titipan ikhlas, du’at tidak mudah melatah apabila ditimpa masalah sewaktu berdakwah, du’at akan mencari pelbagai cara untuk menarik manusia daripada cinta kepada dunia , bertukar cinta kepada Allah. Duat juga sanggup menempuh pelbagai dugaan yang mendatang. Itulah kekuatan ikhlas dalam berdakwah, yang akhirnya melahirkan cinta dalam dakwah.

      3.  Akhlak

Salah satu perkara yang paling penting dalam melahirkan cinta di dalam dakwah adalah dengan melahirkan du’at yang akhlaknya indah. Kita ambil ibrah semasa zaman cinta Rasulullah, Rasulullah yang terkenal dengan kesempurnaan akhlak , mampu menarik manusia yang jahil kepada cinta Allah hanya kerana keindahan akhlak yang terpancar dalam diri Rasulullah. Malahan kerana keindahan akhlak yang ada pada Rasulullah mampu membuat musuh-musuh Rasulullah turut mengaguminya. Bagaimana pula dengan akhlak kita? Kadangkala kerana akhlak du’at zaman millennia ini yang menyebabkan manusia semakin menjauhi islam.

     4. Ibadah

Cantik hubungan dengan Allah maka cantiklah hubungan kita dengan manusia. Ibadah yang terjaga, hati yang bersih, jiwa yang sentiasa mengingati Allah mampu menarik mad’u agar mudah menerima kata-kata nasihat daripada du’at. Salah satu sebab terhalangnya penerimaan mad’u kepada indahnya islam, adalah kerana du’atnya yang tidak menjaga hubungan dengan Allah, hatinya yang kotor. Oleh kerana itu, mulai saat ini para du’at haruslah memaksimakan usaha membersih kotor dihati agar cinta terhias di setiap jalan dakwah.

Contohi rasulullah.

Nabi Muhammad SAW bukan sahaja mempunyai ketokohan dari aspek kepimpinan baginda sebagai nabi dan rasul tetapi baginda adalah role model terbaik dalam mengajak manusia kepada fitrah iaitu islam. Ketokohan Rasulullah dalam membawa cinta dalam dakwah terbukti, dimana semua sahabat-sahabat nabi begtu mencintainya dan sanggup berkorban nyawa semata-mata untuk menyelamatkan Rasulullah daripada diserang musuh.

Rasulullah tidak pernah memandang rendah dan memandang jijik terhadap insan yang menjauhi islam, malahan rasulullah mencintai umatnya walaupun umatnya ingkar. Begitu juga dengan du’at masa kini, seharusnya membawa dakwah dengan cinta, bukan dengan benci.

Membawa manusia kepada cinta Allah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...